Pada 26 hingga 28 Jun 2026, Yayasan Kebajikan & Pendidikan Muallaf Negeri Pahang (YAMU) telah menganjurkan Kursus Asas Bimbingan Fardhu Ain (KABFA) Muallaf Asli sebagai satu usaha memperkukuh kefahaman dan penghayatan Islam dalam kalangan saudara baharu daripada komuniti Orang Asli.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama serta bantuan Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli (PePIMA) dalam usaha memastikan penyampaian ilmu dan bimbingan kepada peserta dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
Kursus ini bertujuan memberikan pemahaman yang jelas dan tepat mengenai konsep, hukum serta hikmah ibadah-ibadah fardhu ain yang menjadi kewajipan setiap Muslim. Para peserta turut didedahkan dengan pembelajaran secara teori dan praktikal, khususnya berkaitan ibadah solat, agar dapat melaksanakannya dengan yakin dan sempurna.
Selain memperkasakan ilmu agama, program ini juga menjadi platform untuk memupuk semangat ukhuwah, mengeratkan silaturahim serta membina sebuah komuniti muallaf yang mencintai dan menghayati ajaran Islam tanpa mengira bangsa dan kaum.
Semoga segala ilmu yang diperoleh dapat diamalkan dalam kehidupan seharian serta menjadi asas kepada pembentukan jati diri Muslim yang kukuh. Semoga usaha murni hasil kerjasama YAMU dan PePIMA ini terus diberkati Allah SWT dan memberi manfaat kepada seluruh komuniti muallaf.
“Memartabatkan Muallaf”

